
“Sekiranya Malaysia menang perbicaraan di Mahkamah Pengadilan Antarabangsa di bandar raya The Hague, Belanda, bagi mendapatkan Pulau Batu Puteh, puji-pujian yang melimpah luah pastinyalah akan diberikan kepada perwakilan negara.
“Tetapi seandainya Malaysia gagal, pasti ada orang dan pihak yang akan berkata ia adalah kehendak takdir maka kita terima sahajalah. Menyalahkan takdir sudah menjadi amalan ramai pembesar di Malaysia. Tanah runtuh, salahkan takdir, bangunan runtuh, salahkan takdir, mayat bergelimpangan di jalan raya, salahkan takdir.”
Ahmad Shabery mengaku bahawa banyak rakyat Johor begitu memandang berat peristiwa ini sehingga ada yang mengadakan doa selamat dan sembahyang hajat agar keputusan kes itu memihak kepada Malaysia. Bagaimanapun, kata beliau, Malaysia dan Singapura telah berjanji akan akur kepada keputusan ICJ dan pihak yang menang tidak akan mengadakan sebarang sambutan kemenangan. Abdul Kadir Mohamad, Penasihat Hal Ehwal Luar Negara kepada Perdana Menteri, yang hadir di majlis taklimat itu berkata Malaysia ingin mempamerkan kepada dunia bahawa ia sebuah negara yang patuh kepada undang-undang dan akan menerima sebarang keputusan ICJ sebagai suatu keputusan muktamad. Katanya bagi Malaysia, kes Pulau Batu Puteh lebih merupakan “isu rakyat”, tetapi bagi Singapura, ia lebih merupakan “isu kerajaan”. Saya harap kenyataan Abdul Kadir itu tidak membawa maksud bahawa Kerajaan Malaysia tidak seserius Kerajaan Singapura menangani masalah ini atau rakyat Malaysia lebih serius daripada Kerajaan Malaysia. Pada pandangan saya, Kerajaan Malaysia perlu lebih peka kepada sentimen dan reaksi rakyat jelata kita daripada Kerajaan Singapura kerana rakyat Malaysia lebih proaktif, lebih tinggi kesedaran politiknya dan lebih bebas membuat pilihan. Sebaliknya, walaupun rakyat Singapura terkenal dengan sifat “kiasu” (takut kalah dalam dialek Hokkian) namun mereka tidak begitu terbuka dalam menyatakan pendapat dan memperlihatkan emosi. Lagipun, manakala Kerajaan Malaysia baru sahaja diberikan tamparan hebat oleh pengundi pada pilihan raya 8 Mac lalu, Kerajaan Singapura boleh “goyang kaki” kerana pembangkang sangat lemah di republik pulau itu. Dalam posting 23 November itu juga, saya membuat pemerhatian berikut:
“Kalau Malaysia menang dan kemenangan itu disebabkan pencapaian perwakilannya, maka pastilah ada orang akan mendabik dada mengatakan bahawa Malaysia mempunyai kemampuan minda yang hebat dan superior. Mengapa saya berkata begitu? Kerana dari sudut perwakilan, Singapura jelas mengemukakan sebuah pasukan peringkat tinggi yang cukup hebat.
Manakala kita hanya menghantar perwakilan peringkat pegawai.Pasukan Singapura, mengikut laporan media, diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras Keselamatan Nasional dan Menteri Undang-Undang, Prof. S. Jayakumar dan dibantu oleh Ketua Hakim Negara Chan Sek Keong, Peguam Negara Chao Hick Tin dan Duta Bebas (Ambassador-at-Large) Prof. Tommy Koh.Mereka disokong pula oleh panel peguam antarabangsa yang terdiri daripada Ian Brownlie Q.C, Prof. Alain Pellet, Rodman Bundyn dan Loretta Malintoppi.
Manakala pasukan Malaysia dikepalai oleh Duta Bebas merangkap penasihat hal ehwal antarabangsa kepada Perdana Menteri, Abdul Kadir Mohamad yang juga berupa kepala delegasi Malaysia bagi rundingan Jambatan Bengkok dengan Singapura. Umum tentu tahu apa yang terjadi kepada rundingan berkenaan – projek di wilayah Malaysia sendiri terpaksa dibatalkan kerana kononnya ditentang dan diancam oleh Singapura!
Abdul Kadir dibantu oleh Duta Malaysia ke Belanda Noor Farida Ariffin dan Peguan Negara Abdul Ghani Patail dan disokong oleh panel perundangan antarabangsa terdiri daripada Sir Elihu Lauterpacht dan James Crawford, kedua-duanya profesor undang-undang antarabangsa Universiti Cambridge, Nicolaas Jan Schrijver, profesor undang-undang awam dan antarabangsa Universiti Lieden, Belanda, Marcelo G. Kohen, profesor undang-undang antarabangsa, Institut Pengajian Antarabangsa, Geneva, Switzerland, dan Penelope Nevill, Downing College, Universiti Cambridge.”
Apa pun kesudahannya, kita tidak perlu menunggu lama lagi. Hanya sehari lagi kita akan tahu sama ada Pulau Batu Puteh akan kembali menjadi hak milik kita “selagi ada bulan dan matahari” atau ia akan kekal dalam pendudukan Singapura.
Penulis merupakan A.Kadir Jasin
Entries (RSS)